- Akhirnya ada penutup jua mengenai isu SBPA. Pasukan Petugas semakan semula SBPA sebenarnya diberi mandat sehingga 16 April 2012 untuk mengemukakan sebarang cadangan baru kepada pihak Kerajaan. Namun, berikutan pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 8 Mac 2012 boleh diandaikan isu SBPA akhirnya menemui penamatnya. Dan akhirnya, segenap pelosok dan peringkat penjawat awam wajib untuk kembali fokus kepada tugas dan tanggungjawab yang menjadi amanah kepada rakyat.
- Setelah semua tepukan dan keluhan lega kembali reda, ayuh kita hayati kembali secara lebih terperinci apa yang telah diumumkan dalam perhimpunan tersebut:
- Sistem SBPA secara rasmi dibatalkan. Kakitangan awam kembali menggunakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.
- Apa yang ditambah baik tersebut? Antaranya, pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM mengikut gred yakni Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana, Gred 1 hingga 54 (menerima pelarasan gaji sebanyak 13%), Gred Utama dan Gred Khas atau lebih dikenali sebagai Jawatan Utama Sektor Awam, JUSA (9%), Turus II dan III (8%), dan Turus I serta KSN (7%).
- Struktur JGM diubahsuai kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan di antara... ...RM80 hingga RM320 mengikut gred.
- Bantuan Sara Hidup atau COLA bagi kawasan B dinaikkan menjadi RM250 manakala kawasan C menjadi RM150 sebulan.
- Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP), dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan pelaksanaannya mengikut peraturan SSM.
- Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan pula, penambahbaikan laluan kerjaya berdasarkan time-based kekal seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.
- serta yang paling penting adalah penubuhan Suruhanjaya Khas mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.
- Namun, semua perubahan ini harus dilihat dengan lebih terperinci. Saya yakin majoriti kakitangan awam akan terus mengira kadar kenaikan gaji mengikut peratusan masing-masing mengikut kadar gaji yang diterima sekarang.
- Dan, lazimnya susulan dari sesuatu pengumuman melibatkan saraan, pihak JPA akan mengeluarkan surat edaran berkaitan yang menjelaskan lagi bagaimana pengiraan tersebut akan dilakukan.
- Bagi pihak yang tertentu pula, segala urusan berkaitan SBPA yang telah dilaksanakan sebelum ini, pasti menimbuilkan banyak urusan pentadbiran bagi mengembalikan semula urusan tersebut dalam landasan SSM.
- Malah, saya pasti akan banyak lagi surat edaran dikeluarkan bertujuan menjelaskan lagi beberapa polisi dan dasar seperti PROSPEK, Pingat Perkhidmatan Cemerlang, Exit Policy, dan Pelan Landasan Kerjaya, yang dicadangkan dilaksanakan di bawah SBPA. Ada kemungkinan polisi dan dasar tersebut diserap ke dalam SSM, sebagai salah satu usaha penambahbaikan yang dimaksudkan oleh YAB PM.
- Rumusannya, kakitangan awam seharusnya membalas budi kerajaan dengan lebih komited dalam melaksanakan tugas dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan. Secara jujurnya, saya melihat banyak perubahan yang berlaku di kalangan kakitangan awam yang berkhidmat di peringkat persekutuan, namun di peringkat negeri dan daerah, mungkin banyak lagi yang boleh dilakukan. Bekerjalah dengan ikhlas dan jujur. Segala tindak tanduk anda dilihat oleh rakyat. Era 'government knows everything' telahpun berlalu. Semakin ramai rakyat yang celik ilmu, celik peraturan, dan celik undang-undang. Jika anda tidak melengkapkan diri dengan ilmu tersebut dan kekal di takuk lama, usah terkejut andai satu hari nanti anda menjadi punca jabatan anda diberi aduan. You're not there to frustrate but to facilitate. You should not trying to not do something, but please, always try to make it done!
Friday, 9 March 2012
Tutup Isu SBPA, Fokus Ke Arah Pencapaian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment