- Ini entri pertama tentang pengembaraan. Insya-Allah dalam apa jua perjalanan pengembaraan sama ada percutian keluarga, bertugas, atau mengikuti kursus, jika ada yang relevan dan sesuai, akan dikongsikan dengan pembaca.
- Kebetulan baru-baru ini, berkursus di A'Famosa Resort Melaka. Menarik tempat ni. Ada pelbagai kemudahan yang tersedia di kawasan seluas saujana mata memandang, hampir 520 hektar. Antara kemudahan yang tersedia di sini banyak yang berbentuk hiburan dan santai contohnya Water World, Cowboy Town, Animal World Safari, dan Golf Course (27-hole). Tarikan utama pastinya di Cowboy Town yang menghidupkan suasana ala-ala Wild Wild West lengkap dengan petugas yang berpakaian seperti zaman koboi.
- Bagi kemudahan penginapan, ada 3 bentuk kemudahan disediakan. Lazimnya yang hadir berkursus atau bertugas akan memilih Resort Hotel. Bagi yang datang bercuti bersama keluarga pastinya D'Savoy Condotel atau Villa menjadi pilihan. Kondotel tu pastilah menyediakan kemudahan seperti unit apartment sama ada untuk kategori keluarga, 2 bilik, atau 3 bilik. Villa pula seolah-olah menyewa sebuah banglo lengkap dengan kolam renang peribadi. Hebat! Bagi yang inginkan sesuatu yang lebih hebat kategori Villa Suites mungkin menepati citarasa anda.
- Kembali ke catatan pengembaraan, diarahkan ke A'Famosa Resort untuk berkursus. Sepatutnya tamat pada hari Jumaat, namun dengan kebenaran Boss, hari Khamis dibenarkan pulang sebab pada Jumaat akan ke Kota Kinabalu untuk percutian bersama keluarga. Ini akan dijadikan catatan pengembara 2.
- Perjalanan dari KL/Putrajaya/Bangi ke A'Famosa Resort mengambil masa tidak kurang dari 1 jam 30 minit dengan kelajuan kereta yang normal. Kebetulan ada teman sepejabat yang hadir sama, amalan car pool dilaksanakan. Kan dah menyumbang ke arah pengurangan pengeluaran karbon monoksida dan kesesakan jalan raya?
- Jadi pada Khamis tersebut, setelah sekian lama tidak menggunakan perkhidmatan keretapi, sekali lagi berpeluang untuk menaiki salah satu pengangkutan awam, yang walaupun perjalanan memakan masa, namun ada nilai estetikanya.
- Stesen keretapi terdekat adalah Stesen Keretapi Tampin. Dari A' Famosa Resort ke stesen keretapi ini, jika menaiki teksi akan dikenakan caj sebanyak RM35 (bayar di kaunter resort hotel). Ada 2 pilihan balik ke Kuala Lumpur (Stesen KL Sentral) yakni sama ada menggunakan Ekspres Sinaran atau Ekspres Selatan. Beza kedua ekspres ini Ekspres Sinaran akan terus bergerak ke Butterworth manakala perjalanan Ekspres Selatan hanya akan tamat di KL Sentral. Untuk jadual waktu perjalanan keretapi bolehlah merujuk ke laman web KTMB.
- Tiket yang dibeli adalah tiket kategori Superior dengan harga RM17. Keretapi
dijangka sampai pukul 6.26 petang. Dan tak sangka, keretapi tiba sekitar
waktu yang ditetapkan. Perjalanan ke KL Sentral mengambil masa hampir 2
jam.
- Pengalaman kali ini tidaklah seperti indahnya perjalanan dari Stesen Keretapi Wakaf Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur yang pernah dinaiki sekitar tahun 2004. Perjalanan laluan tersebut melalui kawasan-kawasan kampung yang pemandangannya amat indah. Koc yang digunakan pada ketika itu juga lebih selesa lengkap dengan bilik beserta katil.
- Stesen Keretapi Tampin/Pulau Sebang ini juga akan berpindah ke bangunan baru, terletak hanya bersebelahan kerana tidak lama lagi kemudahan keretapi ETS (elektrik) akan mula digunakan.
Friday, 9 March 2012
Catatan Pengembara 1: A' Famosa Resort - Stesen Keretapi Tampin - KL Sentral
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment