- Setelah bertahun bertungkus lumus...mengagihkan masa antara kerjaya dan kuliah, akhirnya pihak panel pemeriksa tesis tiada masalah untuk menerima tesis yang dibuat dengan sedikit penambahan dan pembetulan.
- Jadi, bagi menghargai jasa semua, berikut adalah petikan Penghargaan yang bakal dibukukan dalam tesis saya bertajuk 'Implementasi Perjanjian Helsiniki di Aceh: Keberkesanan Mencapai Perdamaian'.
PENGHARGAANSyukur Alhamdulillah kepada Allah S.W.T kerana akhirnya, kembara ilmu di tahap Ijazah Sarjana untuk saya akhirnya menemui penghujungnya. Pengalaman menyertai misi keamanan di Aceh kini berjaya diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Walaupun ada kalanya cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan tesis ini seperti suatu pertarungan yang sukar dimenangi, namun akhirnya saya diberi peluang dan kekuatan oleh-Nya untuk meneruskan perjuangan. Bermula secara pengajian separuh masa dan menamatkan secara sepenuh masa, mengimbangi komitmen tugas dan mengerah minda di sesi kuliah menuntut kesabaran yang tidak sedikit jumlahnya.
Ucapan penghargaan sahaja sebenarnya tidak mencukupi untuk saya ungkapkan kepada...
...penyelia, Prof. Madya Dr. Nor Azizan bin Idris atas kesabaran, sokongan, dan segala panduan yang beliau berikan kepada saya sepanjang usaha menyiapkan penulisan ini. Jasa beliau kepada saya – seorang pelajar yang mungkin paling culas pernah beliau seliakan – pasti tidak terbalas. Terima kasih juga diucapkan kepada para pensyarah Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa yang pernah mencurah ilmu dan memberi inspirasi kepada saya, antaranya Prof. Madya Dr. Mohd. Kamarulnizam bin Abdullah, Dr. Sharifah Munirah binti Syed Hussein Alatas, Prof. Madya Dr. Hari Singh, Prof. Madya Ruhanas binti Harun, dan Dr. Tang Siew Man. Sesi perkongsian ilmu sepanjang sesi pembelajaran di UKM amat membantu dalam menyiapkan penulisan ini dan dalam pengertian yang lebih besar, memberi saya ilmu yang pasti berguna dalam kehidupan saya. Tidak dilupa para kakitangan di Pusat Pengajian Sejarah, Politik, dan Strategi, FSSK yang tidak jemu menghulurkan bantuan apabila diperlukan.Kebanyakan data bagi penulisan ini diperoleh dari Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), Pusat Sumber FSSK, dan Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu (PATMA) UKM. Sehubungan itu saya turut ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pustakawan yang banyak membantu dan memenuhi permintaan saya. Khususnya petugas di PATMA, yang pasti telah jemu melihat nama saya yang terlalu lama meminjam buku-buku rujukan di perpustakaan tersebut.Penghargaan jua kepada penaja pengajian bagi semester terakhir saya, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana kesudian memberikan peluang kepada saya belajar sepenuh masa dan dapat memberikan tumpuan menyiapkan penulisan ini. Penulisan yang tertangguh sekian lama ini pasti terus tertangguh tanpa penajaan dan peluang yang diberikan ini.Akhir kalam, kepada individu-individu yang sama-sama berjuang di lapangan akademik, teman-teman sekuliah Sarjana Sains Sosial Analisis Strategi dan Keselamatan, gelak tawa, sesi pembentangan, tugasan berkumpulan, dan dorongan anda menjadi kenangan yang kekal abadi. Dan, teristimewanya buat bonda Nooraini, isteri tercinta Diha, buah hati tersayang Zara, dan ahli keluarga yang tidak jemu-jemu memberi sokongan semata-mata mahu memastikan penulisan ini berjaya disiapkan. Serta buat Allahyarham Razali bin Ismail ayahanda tercinta, inspirasi seumur hidup.
Wednesday, 29 February 2012
Alhamdulillah...selepas sekian lama...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment