- Salam Sejahtera,Entri kali ini saya coretkan dalam bahasa ibunda saya, Bahasa Melayu. Ini sejajar dengan edaran Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9/2011 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, dan kerana isu yang saya ketengahkan kali ini turut berkaitan dengan Perkhidmatan Awam, kerjaya pertama yang saya ceburi semenjak bergelar graduan hampir 7 tahun yang lalu.
TRANSFORMASI SISTEM PERKHIDMATAN AWAM - YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2011 mengumumkan sistem saraan baru untuk perkhidmatan awam yakni Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
- Sekadar mengingatkan semula, SSM dilaksanakan mulai 2002. Jadi sudah hampir 10 tahun dilaksanakan yang merupakan pengganti kepada Sistem Saraan Baru (SSB). SSB pula diwujudkan pada tahun 1992 menggantikan sistem hasil Laporan Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976.
- Jadi jika melihat kepada pola perubahan sistem ini, sejak tahun lepas lagi, ramai penjawat awam merasakan kemungkinan akan diwujudkan sistem baru bagi menggantikan SSM dan impian tersebut bakal terlaksana pada 1 Januari 2012.
- Walaupun pembentangan Belanjawan 2011 dilakukan pada 7 Oktober 2011, dan ia telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 24 November 2011, namun masih ramai atau boleh dikatakan majoriti penjawat awam masih tidak mengetahui sebarang maklumat lanjut atau perkembangan SBPA selepas pengumuman oleh YAB PM. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit maklumat yang disiarkan di beberapa akhbar utama, yakni cebisan maklumat SBPA setelah beberapa seminar dan taklimat tertutup diadakan.
- Bagi mereka yang tidak berada dalam Perkhidmatan Awam, secara ringkasnya Gred dalam Perkhidmatan Awam terbahagi kepada 4 kategori. Kumpulan Pelaksana bermula Gred 1 hingga 40. Pegawai Pengurusan dan Profesional Gred 41 hingga 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) Gred A hingga C dan kumpulan tertinggi yang dipanggil Gred Turus dari Turus 1 hingga 3. Jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pula...
adalah khusus dan istimewa. KSN juga merupakan ketua kepada semua kakitangan kerajaan. Jika di Amerika Syarikat jawatan ini dikenali sebagai Chief of Staff. Betul?
SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM - Ramai yang beranggapan sistem baru ini akan meningkatkan gaji kakitangan awam. Entah benar atau sebaliknya, wajar untuk kita tunggu pekeliling rasmi yang bakal dikeluarkan. Tarikhnya sudah pasti sebelum 15 Disember 2011, kerana antara 16 hingga 30 Disember 2011 semua kakitangan awam dikehendaki membuat pilihan masing-masing sama ada untuk menerima sistem baru ini atau kekal dalam SSM. Bagi kenaikan had umur persaraan ke 60 tahun adalah perkara berbeza yang tidak bersangkut-paut dengan SBPA. Jadi, ingat, perlu ada 2 dokumen yang berbeza yang perlu ditandatangani.
- Antara intipati menarik SBPA yang hangat diperkatakan adalah kemasukan secara lateral kelompok individu dari luar perkhidmatan awam. Pegawai-pegawai awam yang menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian dan beberapa jawatan tertinggi lagi akan dikategorikan sebagai Kumpulan Premier. Dalam Kumpulan Premier inilah, dijangka beberapa jawatan akan dijadikan terbuka yang bermakna boleh diisi oleh individu yang bukan dari Perkhidmatan Awam. CUEPACS dalam kenyataan terbaru membangkang perkara ini. Ada logik pada asas bangkangan tersebut, namun perkara ini kita telusuri dalam entri yang lain.
- Apa itu SBPA? SBPA merupakan sebahagian dari Program Transformasi Kerajaan serta boleh dikaitkan dengan Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Semuanya demi memenuhi tuntutan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri bahawa pelaksanaan SBPA dikaitkan dengan peningkatan kadar produktiviti dan inovasi Perkhidmatan Awam. Ini amat berkaitan dengan program GTP. Namun, apa yang penting, pemimpin jabatan perlu untuk memastikan berlaku lonjakan nyata dan bukan sekadar incremental dalam aspek prestasi, produktiviti, dan inovasi.
- Tunjang SBPA adalah Transformasi Perkhidmatan Awam (TPA) dan Kelestarian Perkhidmatan Awam (KPA). TPA mementingkan Budaya Ketepatan dan Prestasi Tinggi serta Modal Insan sebagai aset terpenting. KPA pula adalah berkenaan Pembangunan Modal Insan dan Pengurusan Modal Insan.
- Antara inisiatif Transformasi Perkhidmatan Awam adalah Perkhidmatan Awam Kejat, Kepimpinan Dinamik, Modal Insan Berkualiti, dan Saraan Yang Kompetetif. Kebanyakan falsafah yang digunapakai adalah berasaskan konsep Raise, Create, Reduce, dan Eliminate.
- Dalam inisiatif-inisiatif inilah, beberapa skim akan dijumudkan atau digabungkan. Khabarnya jawatan Gred 1 - 10 dijumudkan bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam bersifat 'multi-skilling' lalu dijenamakan menjadi Pembantu Operasi (tugas bukan sekadar pemnadu, namun boleh jua menjadi pencari fail, despatch, dan sebagainya dalam kategori sama, pasti dinyatakan dalam pekeliling nanti). Selain itu, berkemungkinan besar tidak akan ada lagi Gred Turus 1, 2, dan 3 tetapi hanya akan ada Gred Turus semata-mata.
- Selain itu, kakitangan awam yang berprestasi rendah boleh ditamatkan perkhidmatan. Adalah diharapkan inisiatif ini dapat dilaksanakan semudah dinyatakan dan tidak seperti amalan sekarang. Ciri-ciri lain dalam SBPA adalah mobiliti pegawai sebagai contohnya seorang pegawai dalam Skim M (Pegawai Tadbir dan Diplomatik - PTD) boleh memohon untuk bertukar ke Skim DS (Pensyarah/Pegawai Perkhidmatan Lepasan Ijazah).
- Demi meningkatkan motivasi kakitangan awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang turut diperkenalkan. Manakala bagi mereka yang amat berkemahiran dalam sesuatu bidang khusus, boleh menerima gaji gred jawatan lebih tinggi namun kekal di tempat yang sama. Kelompok ini bakal dikenali sebagai Subject Matter Experts (SME). Sistem Penilaian Tahap Kecekapan bakal digantikan dengan Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) yang aspek penilaian adalah lebih menyeluruh dan bukan membabitkan penyelia dan ketua jabatan sahaja.
- Adalah tidak mustahil jenis gred yang digunapakai dalam SSM akan dirombak kerana kaedah ini adalah kebiasaannya. Bagi SBPA sistem pernomboran akan digunakan yakni, 1 untuk kemasukan lepasan ijazah, 2 untuk diploma, 3 STPM, 4 bagi SPM, dan 5 untuk PMR. Penggunaan gred seperti 17, 26, 38, 41, 48, dan 54 turut akan digantikan dengan sistem yang lebih ringkas. Jadi, sebagai contoh, bagi PTD Gred M48, kini bertukar kepada PTD Gred M1 - 4? Angka 5 mewakili Ijazah dan angka 4 bagi gred bersamaan 48.
RUMUSAN - Saiz agensi kini bukan lagi penentu kepada gred ketua jabatan malah perkongsian kumpulan pelaksana adalah amat digalakkan. Juga diharapkan pelaksanaan SBPA ini mampu menarik bakat terbaik untuk berkhidmat dalam khidmat awam.
- Diharapkan, agensi kerajaan juga dapat mengoptimumkan 365 institusi latihan awam dan tidak lagi perlu mewujudkan institusi latihan khusus untuk agensi masing-masing.
- Perubahan sebegini adalah tepat pada masanya. Ini disebabkan kebanyakan pegawai muda amat mahir dalam penggunaan teknologi dan mampu melaksanakan tugas-tugas mudah seperti menggunakan mesin fotokopi, menaip, dan mencari fail tanpa bantuan kumpulan pelaksana. Mungkin ada di kalangan anda yang tahu apa maksud saya. Sekian, eh, berkenaan kenaikan gaji? Nantikan entri berikutnya.
Tuesday, 6 December 2011
Hurm...Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment